Followers

Monday, April 11, 2011

Sejarah Madu Lebah...... Informasi




Sejak berjuta tahun dahulu, Yaman terkenal kerana madunya yang sangat baik dan berkualitas. ‘Erathostenes’ seorang sejarawan, berkata Yaman adalah satu kawasan yang amat subur dan mempunyai tempat-tempat yang sangat sesuai untuk penghasilan madu kerana terdapat pohon ‘Sidr’ dan ‘Sumur’. Madu yang dianggap paling baik adalah yang dikeluarkan dari bunga ‘Sidr’ (Ziziphus Spina Christi, L.Willd) dan ‘Sumur’ (Acacia Tortillis, Forsk. Hayne).
Penternakan lebah telah berkembang luas di lembah-lembah di Timur Yaman sebelum kedatangan Islam lagi. Buktinya dapat dilihat dari lukisan-lukisan di atas batu yang masih terdapat di kawasan itu. Antara gambar yang dapat dilihat dari lukisan ini ialah sekumpulan lebah sedang berterbangan. Dari gambar ini, dapat diterjemahkan bahawa sejak dahulu lagi, penduduk Yaman telah menternak lebah dan pada ketika itu, madu yang terhasil dinilaikan sebagai suatu yang amat berharga dan oleh kerana itulah mereka melukis gambar-gambar ini.
Al-Hamdani seorang sejarawan arab memberitahu, lereng-lereng gunung Hinwam, satu daerah yang didiami oleh puak Ahnum (Hamdan) adalah antara kawasan bumi Allah yang terkaya dengan lebah dan madu. Seorang penternak sahaja boleh memiliki sehingga lima puluh Jibh (sarang lebah) atau lebih.

Malangnya tidak ada maklumat khusus mengenai madu Yaman yang diberikan oleh Yusuf bin Omar.Catatan sejarah pada zaman Rasul walaupun tidak menyebut lebah telah mencatatkan hari-hari yang terbaik untuk mengumpul pelbagai jenis madu Yaman.

Menurut seorang sejarawan Mesir al-Maqrizi (meninggal pada 1441H) yang juga merupakan seorang pengarang beberapa perjanjian Arab mengenai penternakan lebah, menyatakan bahawa seluruh Yaman merupakan bumi lebah.Lebah Yaman berbeza dengan lebah dari luar.

Lebah Yaman diklasifikasikan sebagai ‘APIS MELLIFERA YEMENITICA’. Lebah-lebah Yaman ini tidak agresif dan mempunyai saiz badan yang lebih kecil berbanding dengan lebah Eropah, ‘APIS MELLIFERA EROPAH’ yang menzahirkan belang-belang kelabu pada bahagian badan. Ciri-ciri lebah Yaman ini menjadikannya sesuai dengan iklim di negara itu sehinggakan dari tinjauan yang dibuat mendapati lebah-lebah Yaman ini tidak terkena penyakit. Teknik-teknik penternakan lebah dan pengeluaran madu di sini sebahagian besarnya masih lagi menggunakan cara tradisional walaupun telah banyak negara-negara pengeluar madu menggunakan cara yang moden. Ini adalah kerana cara moden menyebabkan banyak khasiat-khasiat semulajadi, khasiat-khasiat perubatan dan lain-lain luput dari madu tersebut.

Sekumpulan lebah di Wadi Dau’an ditangkap untuk dikenal pasti dan dipilih ratu-ratu lebah tersebut. Kemudian, setiap seekor dari ratu tersebut akan diletakkan di dalam sebuah kotak kecil yang dibuat khas untuk ratu lebah tersebut. Kotak itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam satu tikar anyaman. Di dalam tikar tersebut terdapat rotan yang dibentuk mengikut bentuk sarang lebah dan ditutup di salah satu penghujungnya. Lebah-lebah pekerja yang lain kemudian akan mengikut ratu masing-masing masuk ke dalam sarang buatan yang tersedia itu.-W.H.Ingrams, ‘Tradistional Bee-Keeping in Wadi Dau’an’, Man 37 (1937), 32.

Pada asasnya, terdapat tiga jenis sarang lebah tradisional iaitu khaliyya (batang kayu yang kosong ditengah), jamak (sarang daripada tanah) dan khalaya (sarang daripada bakul rotan). Sarang-sarang ini ditutup pada setiap penghujungnya. Kemudian lubang dibuat bagi memudahkan lebah-lebah tersebut keluar masuk.

Terdapat dua cara penternakan lebah yang diamalkan di sini. Yang pertama penternakan setempat dan yang kedua ialah penternakan berpidah-randah. Penternakan setempat dilakukan dengan cara sarang-sarang lebah diletakkan samada di atas tanah atau di atas bumbung-bumbung rumah. Manakala penternakan pindah-randah yang banyak terdapat di kawasan timur menggunakn sarang berasaskan kayu. Sarang kayu lebih kuat dan stabil dan digunakan agar lebah tidak terganggu apabila diangkut dari satu lembah ke satu lembah di atas lori kecil. Dahulu unta-unta digunakan sebagai pengangkutan, madu yang terhasil diisi di dalam kulit-kulit kambing dan disimpan di dalam labu. Apabila sarang lebah tersebut telah dipenuhi dengan madu, penternak akan memotong isi sarang itu dengan pisau. Sedikit madu ditinggalkan di dalam sarang bagi memenuhi keperluan lebah pada musim kemarau.

Penternak di daerah Zabid memiliki dua hingga tiga sarang setiap keluarga berbeza dengan penternak-pentenak lebah professional di lembah-lembah selatan Wadi Hadramaut yang mempunyai hingga seratus unit setiap keluarga.

Di Yaman, madu telah digunakan untuk meletakkan satu cap mohor ke atas penyelesaian perbalahan dan cagaran dalam membuat perjanjian-perjanjian antara ahli-ahli kabilah. Memiliki madu yang dihasilkan di tempat sendiri merupakan satu simbol status kerana penduduk Yaman berbangga dengan kualiti madu mereka yang baik. Pada zaman Yaman moden pula, penduduk di sini menghidangkan madu kepada para tetamu yang bertandang ke rumah mereka. Madu juga selalu dihidangkan dalam jamuan-jamuan dan keramaian. Madu dicampur dengan telur dianggap penting untuk kesuburan dan kekuatan fizikal. Oleh kerana itu ia diberikan kepada pengantin-pengantin lelaki dan juga kepada kanak-kanak lelaki yang berkhatan.

Kaedah perubatan tradisi Yaman menyampurkan madu dengan mentega cair untuk diberikan kepada ibu-ibu sebaik sahaja selepas bersalin. Madu juga digunakan secara meluas dalam menghasilkan ubat-ubatan tradisional. Contohnya seperti madu dicampurkan dengan labu pahit kemenyan menjadi penawar mujarab bagi sembelit, madu dicampurkan dengan biji lobak menjadi penguat tenaga batin, madu dicampurkan dengan hiltit (sejenis perekat perubatan Asa Feotida) dapat membantu melancarkan perjalanan haid dan dengan beberapa jenis tumbuhan ia boleh merawat penyakit gila babi.

Rasa madu Yaman berbeza dengan rasa madu yang diimport dari negara lain. Madu Yaman juga dapat dibezakan dan juga dikenal pasti asal daerahnya dari warna dan bau. Darjah kelembapan dan kepekatan ekoran darin peratusan air adalah sangat penting dalam menentukan gred sesuatu jenis madu itu.
sumber dari http://rusyd-alberlisi.blogspot.com/2008/05/madu-yaman-diiktiraf-sebagai-madu.html

No comments:

Post a Comment